NEW DELHI – Seorang wanita di negeri Bengal Barat tergamak memperdayakan suaminya untuk menjual buah pinggang sebelum membolot wang tersebut dan melarikan diri bersama teman lelakinya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Wanita yang identitinya tidak didedahkan itu memberi alasan bahawa wang tersebut akan digunakan untuk membiayai pendidikan anak mereka serta simpanan di masa hadapan.
Dia memujuk suaminya selama berbulan-bulan sebelum lelaki tersebut percaya bahawa pengorbanan itu adalah untuk menambah baik keadaan kewangan mereka.
Selepas setahun mencari pembeli di pasaran gelap, lelaki itu akhirnya menjalani prosedur mengeluarkan satu buah pinggangnya untuk dijual pada harga 1 juta rupee (RM51,000).
Selepas menerima bayaran, si isteri melarikan diri bersama teman lelakinya dengan membawa kesemua wang tersebut.
Lelaki itu membuat laporan polis sebelum isterinya dikesan berada di bandar Barrackpore.
Bagaimanapun, selepas mereka bertemu, wanita tersebut enggan pulang ke rumahnya, sebaliknya memberitahu bahawa dia akan membuat permohonan cerai. – AGENSI