PETALING JAYA – Bangga dengan pencapaian anak, pelakon Abby Abadi memuji puterinya, Marissa Dania yang kini sudah memiliki perniagaan sendiri.
Lebih membanggakan, Abby atau nama asalnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, teruja apabila Marissa yang dulu pemalu mampu melakukan siaran langsung dalam laman sosial bagi mempromosikan produk jualan.
“Hebat anak mama, nampak sangat berdikari. Pandai bawa diri tanpa mengharapkan siapa-siapa.
“Dari tak pandai serba-serbi, malu dan tidak mahir bersembang sangat sampai dah ada produk sendiri serta pandai buat siaran langsung sekarang,” katanya dalam hantaran Instagram.
Perkara tersebut turut mengingatkan pelakon drama Gerak Khas itu tentang perjalanannya ketika mula berniaga dalam platform TikTok.
“Samalah dengan mamanya pun, zaman TikTok lambat mulanya berjualan secara siaran langsung ini.
“Sebab segan sebenarnya, tak pandai nak bersembang lama-lama. Takut syok sendiri.
“Sudahnya jalani sahaja, kena kuatkan diri, kuat semangat. Kita semua boleh, Malaysia boleh!,” jelasnya.
Dalam kesempatan itu, Abby turut memohon doa orang ramai supaya perjalanan hidup keluarganya lancar dalam mencari rezeki.
“Semoga ada jalan yang baik untuk kami mencari rezeki. Doakan yang baik-baik okey semua.
“Mana yang kurang, harap diberi peluang,” tuturnya lagi.
Sebelum ini, Marissa pernah mendedahkan dirinya seorang introvert iaitu pemalu atau selesa melakukan banyak perkara secara bersendiri. – KOSMO! ONLINE