GUA MUSANG – Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kem Semur di sini semalam dikejutkan dengan kemunculan seekor harimau kumbang yang sesat dan dipercayai cedera akibat dirempuh sebuah kenderaan.
Seorang pemandu kereta, Nor Fadzilah Abu Naim, 42, berkata, dia sempat melihat harimau kumbang itu berada di tengah jalan dalam keadaan cedera sebelum masuk ke dalam semak.
Katanya, dia pada mulanya menyangka haiwan yang cedera itu adalah anjing kerana warnanya hitam.
“Saya lihat harimau kumbang itu semasa dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Renok kira-kira pukul 4.30 petang. Kenderaan bergerak perlahan di lokasi itu sebelum saya melihat ada haiwan berwarna hitam di tengah jalan.
“Saya sangkakan anjing liar, namun selepas dilihat dengan teliti ia merupakan seekor harimau kumbang,” katanya.
Nor Fadzilah memberitahu, haiwan itu masih hidup dan mengalami kecederaan pada bahagian punggungnya.
Menurutnya, dia tidak dapat memberhentikan kenderaan kerana perlu meneruskan perjalanan untuk mengambil anak di Kampung Renok.
“Selepas mengambil anak kira-kira 15 minit kemudian, saya berpatah balik untuk pulang ke rumah dan melihat haiwan liar itu sudah tiada di lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya belum menerima aduan berkaitan kejadian terbabit. – KOSMO! ONLINE