MANCHESTER – Pemain baharu Manchester United, Patrick Dorgu menganggap kelab itu mampu menawarkan peluang besar untuk perkembangan kariernya dan mengejar cita-cita besar.
Dorgu juga menjelaskan begitu teruja untuk memainkan peranan lebih besar bersama The Red Devils dan tidak sabar bekerja dengan pengurus pasukan, Ruben Amorim.
“Saya begitu bangga untuk menggelarkan diri saya sebagai pemain Manchester United dan sudah pasti detik ini begitu istimewa kepada saya serta seluruh keluarga.
“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan Ruben Amorim, visinya buat pasukan begitu mengujakan. Beliau sudah ada perancangan yang agak jelas untuk membantu perkembangan saya.
“Jadi, sudah pasti saya merasakan Manchester United adalah tempat yang sempurna untuk saya memenuhi potensi dan melengkapkan cita-cita besar saya,” katanya.
Pertahanan muda Denmark itu muncul pemain pertama yang dibawa masuk oleh Amorim bagi merubah nasib pasukan yang kini dihimpit prestasi tidak menentu.
Dilaporkan perpindahan Dorgu dari kelab Itali, Lecce membabitkan yuran perpindahan €30 juta (RM138.4 juta) dan mengikat perjanjian sehingga 2030. – AGENSI