fbpx

Dua suspek tembak mati polis Thailand tidak berada di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Leftenan Kolonel Polis Suwit Chuaythewarit dan anaknya, Sarjan Mejar Polis Dome Chuaythewarit terbunuh dalam serangan hendap di Jalan Sri Sakhon-Chanae di Tambon Sri Banphot, daerah Sri Sakhon.

PETALING JAYA – Polis percaya dua suspek yang dipercayai menembak mati pegawai kanan di Thailand berkemungkinan tidak berada di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak termasuk polis Thailand berkenaan kes tersebut.

“Kita bertindak (siasat) berdasarkan laporan berita yang dilaporkan media kerana tiada penjenayah dari sana (Thailand) masuk ke sini.

“Kemungkinan kedua-dua mereka tidak berada di negara ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Apresiasi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memperketatkan kawalan keselamatan di pintu sempadan serta jalan-jalan tikus berhampiran Sungai Golok, Kelantan.

Beliau berkata, ini bagi menangani isu ketirisan barang kawalan daripada diseludup masuk dan keluar.

“Ini termasuk pangkalan haram atau jalan-jalan tikus menjadi tempat mereka menyeludup.

“Sejak Januari lalu, kira-kira RM400,000 rampasan dibuat di Sungai Golok oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” ujar beliau.

Pada 24 Januari lalu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis berkemungkinan melarikan diri ke negara ini.

Suspek dikenali sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.

Razarudin dilaporkan berkata, dua suspek berkenaan berkemungkinan melarikan diri ke Malaysia untuk bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari lalu membabitkan suspek yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.

Dalam kejadian itu, mangsa, Leftenan Kolonel Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI