TUMPAT – Dua lelaki tidak sempat meraih keuntungan hasil jualan sebanyak 625 kilogram (kg) belut bernilai RM18,750 yang dipercayai diseludup dari Thailand selepas trak pikap yang dinaiki mereka ditahan di pangkalan haram Simpangan di sini kelmarin.
Kedua-dua lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11 malam semasa anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA mengesan pergerakan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan sebanyak 25 guni berisi 625 kg belut.
“Rampasan kesemua belut itu dianggarkan bernilai RM18,750. Kedua-dua suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor di sini dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE