fbpx

Dipuji, dijanjikan menyinar di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETIA dengan lagu dan muzik Tamil, Zubir Khan masih belum bersedia untuk menghasilkan lagu bahasa Melayu buat masa ini. – AFIQ RAZALI

MAHU terbang dan melebarkan kerjaya di bumi India, itu impian yang mahu dicapai penyanyi meningkat naik, Zubir Khan dalam kamus kerjaya seninya pada tahun ini.

Masakan tidak, melihat lagu-lagu bahasa Tamilnya seperti Yennode Macha dan Oh My Kadhale (OMK) yang ‘menyala’ sejak tahun lalu, tidak mustahil impian tersebut akan tercapai dalam tempoh terdekat.

Bukan angan-angan kosong, Zubir mendedahkan menerima pujian daripada penerbit, pengarah dan komposer terkenal asal India, Hiphop Tamizha atau Adhi selepas melihat aksinya dalam sebuah persembahan.

“Datang ke India, kamu akan bersinar di sana,” kata Adhi yang membuatkan semangat Zubir berkobar-kobar untuk terbang ke India.

Menurut Zubir, Adhi tidak menyangka lagu Yennode Macha yang tular di India adalah nyanyian seorang lelaki Melayu dari Malaysia.

Teruja berkongsi khabar gembira, Zubir atau Muhammad Zubir Mohamad Ali, 25, berkata, Adhi turut memperkenalkannya kepada beberapa individu yang terlibat dalam industri nyanyian di India.

“Sebenarnya ada juga artis asal India pernah nampak persembahan dan video saya nyanyi lagu saduran. Mereka jangka saya mempunyai potensi yang besar untuk kembangkan bakat di India. Kalau cakap tentang vokal, lagu Tamil ada lenggok tersendiri dan mereka rasakan nyanyian saya sangat ‘sesuatu’,” katanya kepada HibGlam.

Anak kelahiran Semenyih, Selangor itu tidak pernah menyangka bakatnya dipandang dan diterima sehingga ke luar negara.

Zubir berkata, dia tidak akan melatah sekiranya dilabel tamak merebut peluang asalkan boleh membantu mengembangkan kerjaya muzik ke peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, dia juga mengakui masih belum mempunyai rancangan untuk meluncurkan single bahasa Melayu ketika ini.

“Ketika ini saya perlu jadi tamak. Kalau tidak segera bertindak segera, seolah-olah melepaskan peluang dan lubuk rezeki yang ada depan mata. Setakat ini saya memang belum terfikir untuk menyanyi lagu Melayu. Bukan tak minat langsung tetapi masanya belum tiba.

“Kalau sudah tiba waktu, insya-Allah saya akan muncul dengan lagu Melayu cuma buat masa sekarang, perlu rebut peluang yang ada di depan mata dahulu,” jelasnya yang kehilangan tangan kanannya sejak berusia empat tahun.

Bakal menerbitkan album bahasa Tamil tahun ini, jejaka yang kehilangan tangan kanan sejak berusia empat tahun menjangka album tersebut akan memberi impak besar terhadap kerjayanya.

Mahu memberi hasil terbaik, dia turut berkolaborasi dengan beberapa pemuzik hebat termasuklah dari Kanada untuk menghasilkan album perdananya itu.

“Selepas melihat respons ramai, saya yakin album ini akan mampu membawa nama Malaysia ke India. Kalau boleh tak mahu tangguh lagi hasrat untuk terbang ke India.

“Insya-Allah tahun ini akan ada sesuatu yang hebat akan dihasilkan,” kongsinya yang kini bernaung di bawah label XO House.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI