KUALA LUMPUR – Hampir 20,000 murid sekolah dikesan terbabit dalam aktiviti penggunaan rokok elektronik atau vape sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, statistik tersebut berdasarkan rekod yang terdapat dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Menurutnya, berdasarkan angka pada laporan SDDM itu, ia menunjukkan trend tersebut semakin meningkat.
“Bagi vape kami tidak menafikan bahawa satu trend yang meningkat. Pada 2024, sebanyak 19,450 murid dilaporkan terbabit.
“Ini merupakan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM (Kementerian Pendudikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta KPM menyatakan statistik pembabitan murid sekolah dengan rokok elektronik atau vape.
Bagaimapun kata Kah Woh, bagi masalah merokok dalam kalangan murid sekolah, ia mencatatkan penurunan pada tahun lalu.
Mengikut data SSDM katanya, seramai 3,704 murid bersamaan 0.07 peratus daripada keseluruhan murid dikesan terjerumus dalam kegiatan merokok.
“Untuk semua kes yang saya nyatakan, boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat.
“Untuk semua kes terbabit ini juga, KPM melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan terhadap murid berkenaan dengan berpandukan garis panduan dan juga surat siaran yang sedia ada,”katanya. – KOSMO! ONLINE