ISTANBUL – Penyerang antarabangsa Sepanyol, Alvaro Morata mengakui cukup gembira apabila dapat melebarkan sayap karier ke Liga Turkiye selepas menyertai pasukan Galatasaray secara pinjaman hingga musim 2026.
Sebagai rekod, Morata bersetuju dengan kontrak yang ditawarkan oleh Galatasaray untuk berhijrah secara pinjaman daripada kelab AC Milan selama 18 bulan dengan klausa pembelian secara tetap mencecah €10 juta (RM45.9 juta).
Morata yang kini berusia 33 tahun berharap dapat memberi impak yang positif bersama pasukan Galatasaray dalam usaha memburu kejayaan bermakna pada kempen musim ini.
“Saya sangat gembira apabila spekulasi mengenai perpindahan saya akhirnya terjawab. Ini bukanlah urusan perpindahan yang mudah tetapi pujian wajar diberikan kepada kedua-dua pihak pengurusan dan ejen peribadi saya, George Gardi.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Galatasaray yang percaya dengan bakatnya dan harap dapat berikan yang terbaik untuk membuat penyokong bangga sepanjang tempoh pinjaman nanti,” katanya.
Sebagai rekod, Morata dianggap sebagai salah seorang penyerang prolifik benua Eropah dan menjadi kapten untuk membantu Sepanyol menamatkan penantian bergelar juara Euro 2024 tahun lalu.
Sepanjang kariernya, Morata pernah mewakili beberapa kelab ternama seperti Real Madrid, Atletico Madrid, Juventus dan Chelsea selain berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak dua kali pada edisi 2014 dan 2017. – AGENSI