BIRMINGHAM – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford akhirnya menemui ‘pintu’ keluar dari Old Trafford selepas menyertai Aston Villa secara pinjaman sehingga penghujung musim dengan pilihan perpindahan kekal.
Menerusi pinjaman tersebut, Villa dikatakan akan menanggung 75 peratus daripada gaji keseluruhan pemain berusia 27 tahun itu yang dianggarkan bernilai £325,000 (RM1.8 juta) seminggu.
Rashford berkata, dia gembira apabila perpindahan itu dapat direalisasikan selain berterima kasih kepada United dan Villa kerana memberinya satu peluang untuk mendapatkan minit permainan pada musim ini.
“Saya mahu berterima kasih kepada Manchester United dan Aston Villa kerana membuatkan perpindahan ini berlaku. Saya beruntung kerana menerima banyak tawaran tetapi Aston Villa adalah pilihan paling mudah.
“Villa menampilkan corak permainan cukup menarik pada saingan musim ini selain memiliki jurulatih bercita-cita tinggi. Saya hanya mahu bermain bola sepak dan tidak sabar untuk bermula,” katanya.
Sebagai rekod, pemain antarabangsa England itu lebih banyak menghabiskan masa dengan memanaskan bangku simpanan United selepas kehadiran pengurus, Ruben Amorim yang masuk menggantikan Erik ten Hag.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan Rashford mula meneroka peluang untuk mendapatkan minit permainan bersama pasukan lain secara pinjaman sebelum Villa datang membuat tawaran bagi menyelamatkan kariernya.
Selain Rashford, Villa dilihat serius untuk mencabar kelompok empat teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila turut mendapatkan khidmat pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Asensio secara pinjaman. – AGENSI