KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar menyifatkan budaya memburukkan serta menjatuhkan sesama warga ATM semakin menjadi-jadi.
Tegasnya, semua warga ATM perlu menguatkan dan memupuk budaya hormat menghormati, memberi pandangan yang jujur dan saling menegur dengan berhikmah.
“Adakah rasa hormat kini sekadar menjadi sesuatu yang dipaksa atau sekadar bermuka-muka manakala budaya menegur pula seolah-olah semakin lenyap daripada amalan kita?,” soalnya ketika berucap pada Majlis Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM ke-23 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Mohd. Nizam secara tegas meminta agar tiada lagi penerapan budaya berpuak-puak dalam pasukan dan ia perlu dihentikan segera supaya ia tidak diwarisi generasi seterusnya.
Menurutnya, budaya berpuak ‘your team, my team, his team’ perlu dihentikan sekiranya mahu menjadikan ATM sebuah angkatan yang kukuh, berintegriti dan bersatu padu.
Selain itu, katanya pembangunan modal insan dan penjagaan kebajikan anggota menjadi keutamaan ATM dalam memastikan angkatan itu kekal utuh dan berdaya teguh.
“Moral anggota harus menjadi keutamaan dan ini merangkumi pelbagai aspek seperti kebajikan, pertukaran anggota, tempoh penugasan, kenaikan pangkat serta kursus yang dihadiri untuk meningkatkan kompetensi.
“Pemilihan pegawai harus berasaskan pencapaian sejak awal perkhidmatan, termasuk kursus yang dihadiri serta keputusan dicapai.
“Dengan perancangan modal insan yang teratur dan strategik, kita dapat memastikan penempatan dan pemilihan pegawai dibuat secara tepat, bukan sekadar mengisi kekosongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE