TAMPIL dengan gaun lut sinar yang tanpa pakaian dalam pada majlis Anugerah Grammy 2025, isteri kepada penyanyi rap Kanye West, Bianca Censori bakal berdepan hukuman penjara.
Bianca, 30, membuat kejutan di permaidani merah acara itu semalam apabila secara tiba-tiba menanggalkan kot berbulu di hadapan puluhan jurugambar sekali gu menampakkan sebahagian besar tubuhnya dan kelihatan seperti berbogel.
Media melaporkan pereka hiasan dalaman asal Australia itu didapati melakukan kesalahan mendedahkan tubuh atau kemaluan secara sengaja.
Jika disabitkan kesalahan, dia bakal berdepan hukuman sehingga enam bulan penjara daerah dan denda maksimum AS$ 1,000 (RM4,445.51).
Namun, sekiranya kesalahan tersebut berulang, Bianca akan dijatuhi hukuman lebih berat dengan minimum 10 tahun penjara di penjara negeri.
Tindakan beraninya mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen yang mempersoalkan kelonggaran kod pakaian bagi acara berprestij itu. – KOSMO! ONLINE