fbpx

Bekas pegawai kanan direman disyaki terlibat salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK diiringi pegawai SPRM hadir di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka bagi mendapatkam perintah reman. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH – Seorang bekas pegawai kanan di Jabatan Ketua Menteri Melaka direman lima hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, tahun lalu.

Perintah reman sehingga 8 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek wanita berusia 42 tahun itu.

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.15 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang masih bujang ditahan kira-kira pukul 4.50 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, wanita itu yang pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di jabatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan dengan meminta sumbangan bagi Program Hari Keluarga/ Sasaran Kerja Tahunan berjumlah RM5,000 sedangkan program itu tidak wujud dan wang tersebut telah digunakan untuk kegunaan peribadi.

Selain itu, suspek juga secara tidak jujur menggunakan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 yang sepatutnya diberikan kepada 30 orang petugas di bawah seliaannya untuk kegunaan diri sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI