WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mendedahkan imej menakjubkan menunjukkan senjata laser pemusnah dron baharunya yang membuat tembakan buat kali pertama, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Sistem tembakan laser dikenali sebagai HELIOS itu diuji di atas kapal USS Preble dengan gambar menunjukkan pancaran cahaya terangnya menembak sebuah dron di langit.
HELIOS yang bermaksud sistem Laser Tinggi Bersama Optikal Berintegrasi Silau dan Pengawasan telah dibangunkan oleh syarikat pertahanan Lockheed Martin pada 2021 dan dihantar untuk digunakan oleh Tentera Laut AS setahun kemudian.
Ia direka untuk menentang pelbagai ancaman, termasuk dron, bot kecil dan peluru berpandu.
HELIOS juga direka untuk mengganggu perisikan dan pengesanan yang dibuat oleh kapal musuh.
Ujian itu dilakukan ketika ancaman terhadap kapal perang Amerika semakin meningkat apabila negara-negara asing menyimpan senjata mereka seperti dron dan peluru berpandu antikapal.
Institut Tentera Laut AS berkata dalam laporan baru-baru ini: “Ancaman dron telah wujud selama bertahun-tahun, tetapi tentera laut masih belum mengutamakan pertahanan terhadap senjata yang mudah diperoleh ini.”
Namun, Tentera Laut AS beranggapan bahawa HELIOS adalah jawapan untuk melawan pihak musuh yang menunjukkan keupayaannya di lautan terbuka. – AGENSI