SUNGAI PETANI – Pertuduhan ke atas seorang lelaki tempatan dan enam etnik Rohingya yang disyaki membunuh rakan mereka sebelum dimasukkan ke dalam kolah dan ditimbus tanah tidak dapat dilakukan hari ini berikutan ketiadaan jurubahasa.
Terdahulu kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan dikawal ketat oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majistret Nur Fazlina Musa pada prosiding itu menetapkan 26 Februari ini untuk melantik jurubahasa dan pertuduhan kes.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya maut dipukul di Taman Loke Poh Seng, Jalan Kampung Sungai Baru, di sini pada 28 Januari lalu selepas didakwa mencuri wang lebih RM40,000 serta barang kemas milik majikannya.
Lebih tragis mangsa berusia lewat 20-an itu turut dibungkus dengan kain cadar sebelum dimasukkan ke dalam kolah dan ditimbus tanah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.30 malam, 28 Januari lalu daripada seorang wanita yang memaklumkan suaminya ditemui mati di dalam rumah. – KOSMO! ONLINE