PETALING JAYA – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf kelihatan sebak apabila saksi pertama dalam kes mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen hari ini.
Semasa prosiding, ketika gambar-gambar Zayn Rayyan ditunjukkan kepada mahkamah, Zaim Ikhwan dilihat mengesat air mata dan pada masa sama Ismanira yang turut sebak cuba menenangkan suaminya di kandang tertuduh.
Mahkamah kemudian menangguhkan sementara prosiding apabila pasangan itu meminta izin kepada mahkamah ingin ke tandas.
Terdahulu, saksi pendakwaan pertama, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Arifin yang juga jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengemukakan 142 gambar.
Antara gambar yang dikemukakan adalah mayat Zayn Rayyan masih memakai lampin pakai buang, kecederaan lengan, gambar kaki, telinga, muka, kemaluan dan beberapa barangan kanak-kanak itu.
Mohamad Hirwan, 45, ketika memberi keterangan berkata, dia diarahkan mengambil gambar bedah siasat oleh pegawai penyiasat pada 7 Disember 2023.
“Ia adalah gambar mangsa memakai pampers (lampin pakai buang), gambar kepala hingga badan mangsa, gambar kemaluan mangsa, baju tertulis Zayn Rayyan dan gambar bersama pampers mangsa,” kata saksi itu.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE