JOHOR BAHRU – Empat termasuk tiga wanita berdepan detik cemas apabila kereta Toyota Vios dinaiki mereka dipercayai disimbah petrol sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta di sini malam semalam.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular di media sosial, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.15 malam dirakam pengguna jalan raya lain.
Dalam video terbabit, kereta yang dinaiki empat individu terbabit dihalang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih.
Tidak lama kemudian, bahagian hadapan kereta Toyota Vios seperti dibaling petrol sebelum berlaku kebakaran dan kesemua mangsa sempat keluar dari kereta menyelamatkan diri.
Toyota Alphard memecut melarikan diri sejurus kebakaran berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan kejadian.
Katanya, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE