Berada dalam rumah hijau yang menanam pelbagai jenis sayuran khususnya salad milik syarikat Veggie Nature dan dibenarkan memetik daun salad untuk dimakan segar tanpa sebarang kebimbangan tentang racun serangga, menjadikan ia perkara yang dinantikan oleh penggemar sayur-sayuran.
Lebih menarik, penulis berpeluang menuai beberapa pokok salad yang sudah matang tempohnya untuk dipek bagi proses jualan ke pasaran bersama kakitangan syarikat subsidari Berjaya Hills Resort Berhad di Berjaya Hills, Bukit Tinggi, Pahang dalam satu program lawatan media ke lokasi popular tersebut baru-baru ini.
Menurut Ketua Jabatan Hortikultur dan Projek Hartanah Berjaya Hills Resort Berhad (Berjaya Hills), Ku Ahmad Fasbir Ku Talib, projek pertanian yang terletak di kawasan strategik dengan suhu yang sejuk di situ telah membolehkan hasil keluarannya kini boleh dimanfaatkan oleh beberapa restoran di bawah Kumpulan Berjaya dan di pasaran, malah terdapat juga orang kenamaan menempah khusus sayuran segar organik bertaraf premium untuk dihantar terus ke rumah
mereka.
“Kawasan pertanian ini akan menjalani pelan pengembangan yang berterusan bagi memanfaat setiap inci tanah yang telah diperuntukkan oleh Berjaya Hills dengan lebih 70 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran seperti pisang, cendawan dan juga ladang durian yang boleh dijual buahnya dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya yang berpengalaman lebih lapan tahun dalam bidang pertanian.
Seiring perkembangan pantas projek ladang tersebut dan mahu menjadikan ia sebagai salah satu tarikan terbaharu pelancong, syarikat bercadang untuk membangunkan sebuah restoran yang membolehkan pengunjung memetik sayuran segar dari ladang dan membawa kepada cef berpengalaman untuk memprosesnya menjadikan satu menu lazat lagi sihat untuk dinikmati di situ.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang projek pertanian di kawasan ini?
Ku Ahmad: Projek ini diusahakan oleh anak syarikat Berjaya Hills Resort iaitu Veggie Nature yang memfokuskan kepada penanaman secara organik yang sehingga kini menawarkan trend permintaan yang tinggi daripada pasaran.
Untuk fasa satu, terdapat tujuh buah rumah hijau yang terdiri daripada dua rumah hijau berkonsep hidroponik dan lima lagi rumah hijau berkonsepkan fertigasi. Ia meliputi kawasan seluas dua 2.02 hektar (lima hektar).
Terdapat 17 jenis sayuran di tanam di sini yang terdiri daripada segmen salad, antaranya green coral, red coral, red oak, green oak, butterhead, red butterhead, iceberg, romaine, fresee dan crystal lettuce.
Bagi segmen tomato pula ia terdiri daripada tomato ceri berwarna merah dan kuning, medium tomato dan beef tomato, manakala segmen capsicum pula meliputi tiga jenis iaitu merah, kuning dan hijau.
Selain itu, kawasan pertanian milik Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi ini turut memiliki ladang bersepadu seluas 2.02 hektar dan juga ladang durian seluas 32.37 hektar.
Apakah keunikan tanaman di sini berbanding pesaing?
Dengan ketinggian 1,040 meter daripada paras laut dan juga suhu sekitar 24 hingga 26 darjah selsius, projek tanaman di sini, mendapat manfaat daripada persekitaran hijau yang bersesuaian.
Ladang ini juga begitu serius mematuhi amalan ladang organik yang mana kami tidak menggunakan baja sintetik, racun perosak atau organisma yang diubah suai secara genetik (GMOs).
Sebaliknya kami tertumpu kepada penggunaan bahan semulajadi untuk menyuburkan dan melindungi tanaman. Kami juga telah meneroka konsep ladang hidroponik pintar menggunakan sistem internet pelbagai benda (IoT) dan juga Multigrow Autogrow System yang membolehkan amalan kelestarian dalam kaedah penanaman di sini.
Berapa kapasiti pengeluaran ladang untuk fasa ini dan siapakan sasaran pelanggan?
Untuk keluaran mingguan, hasil tanaman adalah kira-kira 2,000 hingga 4,000 kilogram (kg) dan 90 peratus daripada tuaian tersebut dibekalkan di Lembah Klang.
Kami membekalkan hasil tanaman kepada beberapa anak syarikat dalam kumpulan Berjaya dan juga mendapat tempahan daripada orang kenamaan yang membuat pesanan sayuran organik segar hususnya daripada rumah hijau ini.
Boleh jelaskan tentang tanaman ladang durian di sini, ia sudah boleh dituai?
Ladang durian di sini juga ditanam secara organik melibatkan kawasan seluas 32.37 hektar (80 ekar) dengan 70 peratus daripadanya ditanam dengan durian jenis musang king, 20 peratus black thorn dan bakinya jenis IOI.
Umur pokok durian antara lima hingga enam tahun, dah mula berbuah tapi tahun ini, hasilnya tidak menjadi lagi, jadi kami jangkakan durian boleh dijual menjelang dua tahun akan datang.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam industri ini?
Tumpuannya adalah masalah berkaitan sumber tenaga kerja yang mana, mereka perlu dilatih dan dipantau dan juga dibimbing bukan sahaja daripada aspek kedatangan dan disiplin tetapi kita perlu fokus kepada pengalaman, kemahiran dan kepakaran masing-masing.
Ini penting kerana kita perlu memastikan mereka benar-benar mahir melaksanakan sesuatu tugasan pada tahap terbaik. Kalau kita berdepan dengan masalah teknikal dari segi kawalan air, baja dan racun serangga, ia boleh diselesaikan tetapi jika ia melibatkan kesilapan teknikal yang disebabkan oleh tenaga kerja sendiri, maka ia akan memberi masalah.
Kita perlu uruskan tenaga kerja dengan sebaiknya. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 40 pekerja yang mana 90 peratusnya terdiri daripada pekerja tempatan.
Selain itu, kami juga menganjurkan program pendidikan perladangan dengan menawarkan latihan praktikal kepada pelajar Kolej Vokasional Rembau, Negeri Sembilan.
Apa perancangan terbaharu ladang ini?
Kami nak perluaskan projek ke fasa dua yang melibatkan 2.02 hektar tanah lagi yang bakal beroperasi pada separuh kedua tahun ini.
Kami bercadang untuk membuka lapan lagi rumah hijau yang mana empat rumah hijau berkonsepkan hidroponik dan juga empat lagi rumah hijau berkonsepkan fertigasi.
Sebenarnya syarikat telah memperuntukkan seluas 40.46 hektar (100 ekar) untuk dijadikan kawasan pertanian di Berjaya Hills ini untuk perancangan projek masa depan.
Kami juga mahu menguasai sehingga 10 peratus hasil tanaman organik dari ladang ini di pasaran semasa. -KOSMO! ONLINE