MENGAKUI kepentingan killer song, ikon rock Datuk Amy menyifatkan banyak lagi elemen lain yang perlu diberi perhatian seseorang penyanyi terutama dalam memastikan mereka mampu bertahan dalam industri seni tanah air.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, penerimaan terhadap lagu hits yang dianggap sebagai killer song turut menjurus kepada rezeki apabila membabitkan selera pendengar.
‘Tak perlu tertekan’
Sehubungan itu, Amy menasihatkan penyanyi baharu belajar untuk mengenal pasti genre bersesuaian berbanding hanya mengejar satu lagu yang dirasakan boleh ke depan.
“Killer song ini adalah satu perkara yang subjektif. Adakalanya kita tahu lagu itu boleh ‘pergi’ dan boleh jadi ‘boom’ tapi paling utama adalah cari formula untuk bertahan dalam industri seni.
“Bagi penyanyi baharu, lagu popular bukan hanya dapat membantu mengetengahkan lagi bakat dan nama, bahkan dari situ mereka dapat cari genre bertepatan untuk mereka.
“Namun, tidak perlu sampai tertekan mendapatkan killer song. Jangan terlalu dipengaruhi apa orang cakap, ikut naluri sendiri serta buat banyak research,” katanya selepas pengumuman konsert solonya, Amy Search Magic First Solo Concert.
Vokalis Search yang lebih empat dekad dalam industri itu menambah, mempunyai killer song hakikatnya memberi cabaran besar kepada penggiat seni untuk tampil bersama lagu lebih popular berbanding karya sebelumnya.
“Penyanyi perlu pandai bereksperimentasi tetapi apabila lagu pertama popular, akan timbulkan satu lagi tekanan buat penyanyi ketika mahu tampil dengan lagu kedua.
“Sudah tentu jangkaan pendengar juga semakin tinggi. Jadi pada tahap itu mereka kena tahu material paling sesuai untuk hasilkan lagu baharu yang lebih bagus,” ujarnya.
Maklum balas diberikan Amy adalah bagi menjawab komen susulan kenyataan penyanyi, Man Bai atau Abdul Rahman Osman, 57, yang mendakwa penyanyi baharu seperti Aina Abdul berbakat besar namun belum mempunyai killer song.
Vokalis kumpulan Gersang yang sinonim dengan lagu Kau Ilhamku itu menekankan penyanyi harus memiliki killer song yang menjadi kekuatan untuk kekal relevan dalam industri hiburan.
Sementara itu, mengulas tentang konsert, Amy teruja untuk berkongsi pengembaraan muziknya di Axiata Arena Bukit Jalil pada 26 April depan.
Konsert solo
“Tawaran ini datang daripada pengarah konsert, Jennifer Thompson yang saya terima kerana mahukan barisan tenaga kreatif berpengalaman, bukan tangkap muat.
“Setiap seleksi adalah cerminan warna kehidupan saya sejak menceburi dunia muzik lebih 40 tahun lalu dengan nota dan lirik membawa kisah berbeza,.
“Persembahan ini juga melambangkan suka-duka sepanjang tempoh ini,” katanya.
Konsert tersebut dibawakan penganjur TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia. Tiket mula dijual pada 5 Februari 2025 menerusi laman sesawang, www.wowtix.com.my.