fbpx

SWCorp, Alam Flora bersihkan sampah di LTU Bentong Bypass 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi pembersihan sampah dilakukan di tepi laluan LTU Bentong Bypass berhampiran Bulatan Mempaga di Bentong hari ini.

BENTONG – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Alam Flora Sdn. Bhd. bertindak proaktif dengan segera melakukan operasi kutipan sampah di tepi laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Bentong Bypass berhampiran Bulatan Mempaga di sini.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, operasi pembersihan di tepi laluan berkenaan dilakukan hari ini bagi memastikan kebersihan di kawasan itu dengan menyaksikan kira-kira 75 kilogram sampah dikutip.

“Antara sampah yang dikutip adalah plastik dan bekas makanan dan kita akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan kebersihan di kawasan ini dan sepanjang LTU dari Bentong ke Lipis.

“Pada kali ini kawasan LTU di Lipis menunjukkan perubahan apabila kurang sangat sampah dibuang berbanding sebelum ini susulan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya di sini hari ini.

Hari ini Kosmo! melaporkan masalah pembuangan sampah yang berlaku di laluan LTU di Lipis kini ‘berjangkit’ pula ke laluan LTU Bentong Bypass berhampiran Bulatan Mempaga di sini.

Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat banyak sampah sarap khususnya plastik, botol air minuman dan bekas makanan yang dibuang di tepi jalan berkenaan.

Lebih menjijikkan apabila terdapat air kencing di dalam botol air minuman dibuang merata-rata selain najis manusia.

Menurut Shaharudin, pada masa ini pihaknya membuat keputusan meletakkan sebanyak 10 unit tong sampah di lokasi berkenaan bagi memberi kemudahan kepada pengguna LTU untuk membuang sampah.

“Pihak SWCorp mengingatkan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menjaga kebersihan di musim perayaan dan cuti sekolah ini.

“Kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukannya terletak kepada tanggungjawab pihak berwajib atau pun pekerja pembersihan sahaja,” katanya

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak berkata, tong sampah tidak diletakkan di kawasan itu pada cuti Tahun Baharu Cina kali ini seperti mana pada tahun lalu.

“Kita hanya meletakkan tong sampah pada musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha kerana pada cuti Tahun Baharu Cina sebelum ini tiada kejadian seperti ini.

“Kita tidak sangka banyak sampah dibuang pada cuti Tahun Baharu Cina kali ini dan kita akan mengambil tindakan segera bersama pihak berkaitan bagi melakukan pembersihan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI