KAJANG – Polis sedang giat mengesan seorang suspek lelaki dipercayai terlibat dalam jenayah pecah rumah di Bandar Baru Bangi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.47 malam.
“Laporan dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang memaklumkan rumah ibu mentuanya telah dipecah masuk dan kehilangan dua bentuk cincin disyaki dilarikan suspek.
“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan wajah suspek dipercayai sedang melakukan kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, suspek terlibat sedang giat dikesan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian serta suspek boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Norliza Sarini di talian 013-3843868,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE