LIMA – Sebatang sungai di Peru menjadi sebuah lokasi digeruni ekoran suhu airnya mencecah 100 darjah Celsius sehingga boleh ‘memasak’ haiwan serta manusia secara hidup-hidup, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Sungai itu terletak di wilayah Mayantuyacu, berhampiran kawasan pergunungan Andes dan hutan hujan Amazon.
Ia dinamakan Shanay-Timpishka atau lebih dikenali sebagai Boiling River of the Amazon yang membawa maksud ‘direbus oleh panas matahari’.
Sungai itu boleh menyebabkan pengunjung mengalami kesan lecur tahap tiga dalam hanya beberapa saat jika terjatuh ke dalamnya.
Sungai tersebut mengalir di atas zon sesar, di mana air bawah tanah panas mengalir dari dalam Bumi.
Seorang saintis geoterma, Andres Ruzo berkata, suhu paling panas yang pernah diukurnya di sungai tersebut adalah 100 darjah Celsius.
“Jika anda mencelup tangan ke dalam sungai, tangan anda akan melecur tahap dua atau tiga dalam beberapa saat.
“Haiwan yang cuba berenang juga akan gagal kerana dagingnya akan dimasak dengan cepat,” tambah Ruzo. – AGENSI