HULU LANGAT – Bapa pelajar bidang perakaunan, Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut akibat nahas enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, di sini semalam berharap agar kematian anaknya mendapat keadilan sewajarnya.
Saiful Alimin Mohd. Mokhtar, 58, berkata, dia juga terkilan apabila diberitahu bahawa pemandu yang disyaki melanggar motosikal anaknya itu mendakwa sebaliknya dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.45 petang itu.
Bagaimanapun, katanya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Saya reda anak saya pergi dalam kejadian ini cuma saya terkilan sebab (pelaku) yang melanggar itu memburuk-burukkan anak saya.
“Dia kata anak saya yang langgar dia dan masuk laluan bertentangan. Nasib baik lepas itu keluar video yang menunjukkan situasi sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Allahyarham Aysar Zahran, 20, maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menahan pemandu berusia 27 tahun itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mengulas lanjut, Saiful Alimin berkata, arwah yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu adalah seorang anak yang baik, lemah lembut dan tidak menunggang motosikal dengan berbahaya.
Katanya, dia juga sentiasa memberi galakan kepada arwah untuk belajar dalam bidang perakaunan kerana ia memberi peluang kerjaya yang baik pada masa depan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Aysar Zahran tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 4.10 petang tadi untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua. – KOSMO! ONLINE