ALOR SETAR – “Saya bersyukur kerana dua lelaki kes bunuh anak saya dan bapa angkatnya dituduh di mahkamah hari ini, selain saya sudah boleh menuntut jenazah anak pada esok.”
Demikian kata Mohd. Zaini Hashim, 63, bapa kepada Muhammad Muslim, 23, yang ditemui rentung bersama bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61, dalam kebakaran rumah di Jalan Kota Tanah dekat Tongkang Yard, di sini pada 21 Januari lalu.
Katanya, dia berharap agar dua pemuda yang dituduh melakukan pembunuhan itu dibicarakan dengan seadil-adilnya.
“Anak saya yang saya panggil Lim sudah tiada dan sebagai seorang bapa, kehilangan anak lelaki saya itu memberi kesan yang sangat besar dalam hidup saya
“Jadi, saya berharap agar dua lelaki itu dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan kejam mereka ke atas anak saya dan bapa angkatnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, dia juga baru dihubungi pegawai polis yang memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham Muhammad Muslim sudah boleh dituntut pada esok.
“Polis minta saya ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tuntut jenazah anak pada pukul 10 pagi esok.
“Saya difahamkan jenazah bapa angkat arwah anak iaitu Ibrahim juga boleh dituntut pada esok selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti kedua-dua arwah,” jelasnya.
Tambahnya, dia bercadang untuk membawa pulang jenazah anaknya ke rumahnya di Kuala Kedah sebelum disembahyangkan di Masjid As-Salam di Tambak Bunga terletak berhampiran.
“Jenazah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam di masjid tersebut berdekatan kubur neneknya, Mahtom Abu yang meninggal dunia pada tahun lalu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang warga emas dan anak angkatnya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah dekat Tongkang Yard, di sini.
Kebakaran rumah yang meragut dua nyawa itu kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh akibat dendam susulan penahanan lima lelaki termasuk anak saudara kepada mangsa warga emas.
Pada hari ini, dua penganggur iaitu Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh warga emas, Ibrahim dan anak angkatnya, Muhammad Muslim. – KOSMO! ONLINE