PORT DICKSON – Polis mengesahkan penemuan satu rangka dipercayai manusia di sebuah ladang sawit di Siliau, di sini, pada pukul 10.10 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian tersebut telah disedari oleh orang awam yang ingin membaik pulih sebuah paip bocor.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di kawasan sekeliling tidak menjumpai sebarang dokumen peribadi, pakaian, senjata atau identiti yang boleh mengesahkan butiran tengkorak tersebut. Malah, tiada sebarang kesan perlakuan jenayah dikesan di lokasi tersebut. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menyalurkan kepada Ketua Polis Balai Lukut, Sub Inspektor Lim Hooi Boon di talian 06-647 2222 atau 016-3318360.
Sementara itu, penduduk setempat yang ditemui, M Saravanan, 41, berkata, dia terkejut sebaik dimaklumkan pelanggan kedai makannya terdapat rangka manusia ditemui kurang dua kilometer dari kedai.
“Ikutkan pada hujung Disember tahun lalu, memang ada seorang warga emas lelaki di taman berdekatan lokasi telah hilang. Usianya sekitar 60-an. Dulu dia selalu juga makan di kedai ini.
“Tak tahu la, ada kena mengena atau tidak, namun perkara ini benar-benar mengejutkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE