SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidisi yang beroperasi di Sungai Lokan, di sini hari ini.
Ini susulan serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 ke sebuah premis yang dijadikan stor haram bagi menyimpan dan memindah bahan api berkenaan yang berlangsung pukul 2 petang tadi.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, pasukan penguatkuasa menjumpai 27,000 liter minyak diesel bersubsidi bersama beberapa peralatan seperti tangki Intermediate Bulk Containers (IBC), paip penyambung, sebuah lori serta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Empat suspek yang terdiri daripada tiga pemandu lori dan seorang penjaga stor turut ditahan dalam operasi terbabit.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka baru mula bekerja hari ini dan kita tahan keempat-empat suspek untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan lori yang diubah suai untuk mengambil minyak diesel daripada beberapa stesen minyak sekitar kawasan berhampiran sebelum pindahkan ke stor haram untuk dijual di pasaran gelap.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM260,860 dan ini merupakan rampasan diesel terbesar untuk kita bagi tahun ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE