BIARPUN terkandas di separuh akhir Piala Malaysia, Jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang mampu menyaingi kekuatan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Badrul Afzan berkata, skuad Penyu tampil dengan aksi berbeza apabila berjaya mengekang skuad Harimau Selatan dan hanya kesilapan kecil di hujung permainan menyaksikan mereka tewas 1-2 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam
“Apabila tewas 0-4 pada aksi separuh akhir pertama, kami tahu amat sukar untuk bangkit lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain yang tidak mudah menyerah kalah.
“Kita berjaya mengikat kedudukan di babak kedua, tapi faktor hilang konsentrasi di babak akhir permainan menghukum kita apabila JDT menjaringkan gol kemenangan. Kita jangka mampu mencatat keputusan seri tapi tak kesampaian,” katanya.
Pada perlawanan itu, JDT membuka jaringan menerusi Heberty Fernandes pada minit ke-31 sebelum TFC bangkit menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Ismaheel Akinade pada minit ke-49.
Heberty menyelamatkan maruah JDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan bagi memastikan pasukan tuan rumah menang 2-1.
Badrul Afzan turut menghamburkan pujian kepada barisan benteng pertahanan yang dibarisi pemain tempatan berupaya menangkis asakan jentera import JDT yang rancak melancarkan serangan bertali arus.