SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Butterworth membenarkan perintah reman tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek yang dipercayai membunuh ibu kandungnya di Pangsapuri Seri Orkid di sini, pada Jumaat lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal pagi tadi.
Sebelum itu, suspek yang bergari dan memakai baju lokap tiba di pekarangan mahkamah dengan dikawal anggota polis pada pukul 10.49 pagi. Reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, kekasih kepada suspek utama turut direman bagi tempoh sama untuk membantu siasatan.
Difahamkan, ibu suspek yang berusia 60 tahun dipercayai telah dibunuh tiga hari lalu ekoran berlakunya pertengkaran antara dua beranak itu antara pukul 6 petang hingga 8 malam.
Mangsa dipercayai dipukul pada bahagian kepala menggunakan objek tumpul dan susulan itu, suspek dan kekasihnya yang berusia 20 tahun ditahan di kediaman bapa suspek di Paya Terubong kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
Hasil semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan memukul ibu bapanya. – KOSMO! ONLINE