JUARA bertahan, Johor Jewels memasang impian besar untuk merangkul kejuaraan hatrik selepas menguasai Netball Super League (NSL) pada edisi 2022 dan 2023.
Pengurus pasukan, Juanita Primrose Mariyam menyatakan sasaran utama mereka musim ini adalah mengekalkan kejuaraan sambil memperbaiki mutu permainan bagi memastikan dominasi pasukan terus berpanjangan.
“Kami sudah melakukan persiapan awal seperti pasukan lain dan akan sentiasa memperbaiki kelemahan dalam setiap sesi latihan. Matlamat kami bukan sekadar mempertahankan kejuaraan, tetapi juga meningkatkan prestasi berbanding musim lalu,” katanya.
Dalam usaha mengekalkan kestabilan pasukan, Johor Jewels mengekalkan sebahagian besar pemain daripada edisi terdahulu dengan hanya beberapa perubahan kecil pada barisan pemain gantian.
“Kami memilih untuk mengekalkan kebanyakan pemain dari musim lalu kerana keserasian mereka sudah terbentuk. Perubahan dalam pasukan tidak terlalu ketara, tetapi cukup untuk memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada jurulatih,” tambah Juanita.
Dalam aksi perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin, Johor Jewels membuka kempen dengan langkah kanan apabila berjaya mengatasi Perak Phoenix dengan mata 51-49.
Bagaimanapun, Jewels kelihatan terpaksa bekerja keras selepas Phoenix mempamerkan aksi yang luar biasa dalam perlawanan pembukaan.