PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertindak membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn. Bhd. berkuat kuasa 24 Januari lalu.
Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Wira Roslan Abdul Rahman berkata, pembatalan lesen itu dibuat selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Kementerian memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya ringkas dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah membenarkan tuntutan pampasan ganti rugi berjumlah RM10,000 oleh dua individu terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah.
Presiden TTPM Sabah, Larina Wong Shiao Yee membuat keputusan itu selepas pendengaran kes dikemukakan Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd.
Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat itu didakwa gagal membawa penuntut untuk mengerjakan ibadah umrah dan badal haji pada tarikh yang ditetapkan.
Ini kerana bayaran keseluruhan untuk pakej yang ditawarkan itu masing-masing sebanyak RM6,000 dan RM4,000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua penuntut.
Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang berasakan diperdaya syarikat berkenaan kemudiannya tampil memfailkan tuntutan kepada TTPM. – KOSMO! ONLINE