BEIJING – Seorang lelaki di wilayah Jiangsu terkejut apabila mendapati bekas pemilik rumah didudukinya tinggal di ruang bawah tanah secara rahsia selama tujuh tahun lalu, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Li membeli hartanah itu pada 2018 pada harga hampir 2 juta yuan (RM1.2 juta).
Ketika dia melakukan kerja-kerja menaik taraf rumah itu baru-baru ini, Li terkejut apabila menemui sebuah pintu rahsia yang terselindung di belakang tangga.
Sejurus membuka pintu itu, Li menemui laluan ke ruang bawah tanah. Ia lengkap dengan perabot, sistem pengudaraan, lampu, malah bar kecil.
Mengesyaki ruang itu menjadi lokasi penempatan seseorang, Li menghubungi pemilik lamanya iaitu Zhang.
Pengakuan Zhang kemudian mengejutkan Li apabila wanita tersebut memberitahu bahawa ruang bawah tanah itu tidak termasuk dalam jualan rumah berkenaan.
Menurut Zhang, ruang bawah tanah adalah tempat peribadinya dan bukan sebahagian daripada hartanah yang diiklankan dahulu.
“Jika ruang bawah tanah pun milik anda, di mana saya boleh berehat ketika masa lapang?” kata Zhang.
Cara wanita itu menyelinap masuk ke ruang tersebut bagaimanapun tidak dinyatakan.
Li membawa perkara itu ke mahkamah dan menuntut bahawa ruang bawah tanah adalah termasuk dalam hartanah yang dibelinya daripada Zhang.
Mahkamah akhirnya mengarahkan Zhang membayar pampasan kepada Li dan mengesahkan bahawa lelaki tersebut adalah pemilik ruang bawah tanah itu.
Kisah itu menjadi tular di laman sosial dan menerima pelbagai komen daripada netizen, dengan ramai menyamakannya dengan sebuah filem Korea Selatan terbitan tahun 2019 bertajuk Parasite. – AGENSI