LONDON – Seorang lelaki ditahan selepas membakar kitab suci al-Quran di bandar Manchester, England, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku di Dataran St Peter’s berhampiran Memorial Glade of Light yang dijadikan tempat memorial memperingati mangsa pengeboman Manchester Arena pada 2017.
Rakaman kejadian yang disiarkan secara langsung di media sosial memaparkan suspek membakar al-Quran menggunakan pemetik api.
Suspek juga menayangkan perbuatan keji itu di hadapan orang ramai.
Jurucakap polis tempatan berkata: “Suspek berusia 47 tahun itu ditahan sekitar pukul 2.45 petang (waktu tempatan).
“Dia ditahan kerana sengaja menjejaskan ketenteraman awam sehingga boleh mencetuskan isu perkauman.
“Suspek masih berada dalam tahanan untuk disoal siasat,” tambahnya. – AGENSI