KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenal kadar caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia jauh lebih rendah berbanding cadangan asal iaitu sebanyak 12 peratus.
Menurutnya, kadar itu adalah jumlah yang kecil dan tidak membebankan majikan, sementara kerajaan terus menilai situasi semasa sebelum membuat sebarang perubahan.
“Caruman KWSP bagi pekerja asing mesti ditetapkan. Namun, terdapat sedikit kekeliruan sama ada ia boleh dikumpulkan atau tidak. Oleh itu, kita mengekalkannya pada kadar dua peratus, yang sebenarnya sangat rendah.
“Kita buat keputusan untuk mengekalkan kadar tersebut buat sementara waktu sehingga keadaan bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 sebelum ini, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, menerima layanan yang adil selaras dengan piawaian antarabangsa.
Beliau memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk mewajibkan semua pekerja asing mencarum dalam KWSP, dengan pelaksanaannya dijalankan secara berfasa. – KOSMO! ONLINE