fbpx

Kain batik ganti lampin pakai buang anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selasiah menguruskan anaknya, Muhammad Khairul Naim ketika kunjungan Zuraini (kanan) ke rumah mereka di Pokok Sena baru-baru ini.

POKOK SENA – Disebabkan kesempitan hidup, seorang ibu tunggal terpaksa menggunakan kain batik bagi menggantikan lampin pakai buang untuk anaknya berusia 18 tahun yang menghidap sindrom Down.

Selasiah Md. Isa, 48, berkata, adakalanya dia terpaksa berbuat demikian kerana kos membeli lampin pakai buang agak tinggi lebih-lebih lagi wanita itu masih mempunyai anak-anak lain yang tinggal bersamanya.

Katanya, dua anaknya masih bersekolah, manakala dua lagi berusia 20 dan 21 tahun tiada pekerjaan tetap kerana sebelum ini mereka berkorban demi keluarga hingga tidak dapat menamatkan persekolahan.

“Anak sulung hanya bersekolah setakat darjah enam. Pada usia 13 tahun, dia melakukan pelbagai kerja bagi menyara keluarga kerana arwah suami yang sumbamenghidap penyakit buah pinggang tidak dapat menjual sayur di pekan Bukit Pinang.

“Sekarang dia bekerja sebagai jurukimpal namun pendapatannya tidak menentu. Anak kedua pula tiada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak menamatkan pengajian,” katanya selepas kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal di rumahnya di Jalan Kuala Nerang, Batu 12 3/4 di sini baru-baru ini.

Selasiah bernasib baik kerana dia sekeluarga menerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing RM500 dan RM600.

Bercerita tentang keadaan Muhammad Khairul Naim, Selasiah berkata, anak ketiganya itu mengalami sindrom Down sejak lahir menyebabkannya tidak mampu bercakap dan mengengsot.

“Biasanya satu pek lampin ada 10 helai berharga RM18 hanya bertahan dua atau tiga hari. Jika tidak dapat beli lampin, saya pakaikan dia kain batik,” katanya.

Selasiah berkata, harapan kini disandarkan kepada dua anaknya berusia lapan dan 13 tahun untuk belajar hingga menara gading bagi mengubah nasib mereka.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Selasiah di talian 013-5479083 atau menyalurkan sumbangan akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0213041100007926.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI