KUALA LUMPUR – Anggota Kabinet diminta mengambil pendekatan terbuka dalam membincangkan isu berkaitan pendigitalan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin negara tidak seharusnya berada dalam pemikiran lama.
Katanya, setiap anggota Kabinet perlu bersedia menerima pandangan pelbagai pihak, termasuk akademik serta gabungan dewan perniagaan bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
“Pemimpin Kabinet mesti ambil sikap terbuka, mesti keluar daripada pemikiran kepompong lama.
“Apa segala mungkin jadikan Malaysia negara maju dan tidak ketinggalan. Cari jalan tingkatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi lebih berkesan dengan peranan memberi pandangan berkait ekonomi.
“(Sekiranya) mahu jadi pemimpin berkesan, apatah lagi negara yang pelbagai rencam ini, kepentingan harus kita lihat dan terima pandangan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE