TELUK BAHANG – Escape Penang kini semakin kukuh sebagai tarikan pelancongan utama di Malaysia dengan sasaran kehadiran 250,000 pelawat tahun ini, meningkat 10 peratus berbanding 240,000 pelawat tahun lalu.
Pengasas Sim Leisure Group, Datuk Sim Choo Kheng berkata, sasaran itu didorong oleh dua tarikan baharu di taman teman itu yang telah diiktiraf sebagai Rekod Dunia Guinness iaitu ‘longest tubby racer’ dan ‘largest tipping bucket’.
Terdahulu, Choo Kheng menerima plak penghargaan daripada wakil Rekod Dunia Guinness, Kazuyoshi Kirimura sempena kejayaan taman tema itu mempunyai dua tarikan baharu yang diiktiraf Rekod Dunia Guinness.
Menurut Choo Kheng, longest tubby racer di Escape Penang kini memegang gelaran luncur ski kering terpanjang di dunia iaitu sepanjang 453.3 meter.
Sementara itu, katanya, largest tipping bucket di Escape Penang mempunyai kapasiti 28,757 liter, menjadikannya baldi tumpahan air terbesar di dunia.
“Taman tema ini sebelum ini mencipta rekod dunia bagi Longest Tube Water Slide (1,111m) pada 2019 dan Longest Zip Coaster (1,135m) pada 2022,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE