ALOR SETAR – Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas dan anak angkatnya dekat Tongkang Yard, di sini pada 21 Januari lalu.
Tertuduh, Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada dua tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd. Zaini, 23.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di rumah nombor 398, Lorong Rose, Jalan Kota Tanah, di sini kira-kira pukul 3.30 pagi, 21 Januari lalu.
Mohd. Fitri Saiful merupakan anak saudara kepada Ibrahim, manakala Muhammad Haizan adalah kenalannya.
Pendakwaan dikendalikan Nur Huda Diyanah Amir Hamzah terhadap dua tertuduh itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 14 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kebakaran sebuah rumah dekat Tongkang Yard, di sini yang meragut dua nyawa memasuki episod baharu apabila ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh akibat dendam.
Susulan itu, polis menahan lima suspek termasuk anak saudara salah seorang mangsa, Ibrahim berusia antara 19 hingga 53 tahun dengan tiga daripada mereka positif dadah.
Hasil siasatan di lokasi, pihak forensik bomba dan polis menemui botol berisi petrol dan kesan petrol di lokasi. – KOSMO! ONLINE