PETALING JAYA – Domino’s Pizza Enterprises Ltd‘s (Domino’s) bakal melancarkan piza terbaru dengan kerak piza berbentuk syiling emas Cina purba, yang memberi rasa luar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menu terbaharu Golden Treasure Pizza itu menetapkan penanda aras baharu dalam sejarah penciptaan piza dengan memperkenalkan kerak piza unik dan inti premium yang menjanjikan pengalaman menjamu selera yang sukar dilupakan.
Ketua Pegawai Pemasaran bagi Domino’s Malaysia, Singapura dan Kemboja, Linda Hassan berkata, Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang meraikan kemakmuran dan kesatuan hati, jadi Golden Treasure Pizza jelas mencerminkan nilai-nilai tersebut.
“Walaupun kami teruja untuk memperkenalkan perisa edisi terhad untuk pelanggan yang menggemari piza, perkara yang turut diutamakan ialah bagaimana kami berbakti kepada masyarakat dengan cara yang bermakna.
“Hari ini, kami berkumpul untuk menghargai hero-hero di sebalik tabir. Kita melihat dedikasi mereka, ketabahan mereka dan pengorbanan yang mereka lakukan setiap hari.
“Mereka adalah nadi komuniti kita, menghubungkan pelanggan dengan sajian mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai menu baharu tersebut, Linda menjelaskan ia menawarkan tiga pilihan yang menyelerakan iaitu Golden Salmon Pizza dengan Gold Coin Crust yang ditaburi empingan salmon premium, Golden Prawn Pizza dengan Gold Coin Crust berintikan udang bakar lazat dan Golden Popcorn Chicken Pizza yang ditaburi ayam popcorn empuk.
Bagi piza Gold Coin Crust, ia ditaburi dengan keju cheddar merah dan diisi dengan keju mozarela.
Ketiga-tiga pilihan piza dilapisi dengan sos berkrim Domino’s yang kaya dengan perisa udang karang, ketulan nanas, dan keju mozarela cair untuk menghasilkan keserasian cita rasa yang sempurna.
Selain itu, Golden Four Chicken Drummets juga diperkenalkan untuk melengkapi Golden Treasure Pizza dan menjadikan hidangan tambahan sempurna di musim perayaan.
Sajian tersebut disediakan dalam empat perisa menyelerakan, iaitu perisa asli, honey garlic dengan bawang putih goreng rangup, oriental orange dengan bijan dan Gochujang serta kepingan cili kering.
Selain itu, bersempena pelancaran Golden Treasure Pizza, Domino’s juga memberi penghormatan kepada rakan-rakan penghantar termasuk Abang-Abang Domino’s, GrabFood, FoodPanda dan ShopeeFood yang merupakan hero di sebalik tabir.
Menepati tema “Golden Treasure, Shared Moments”, Domino’s telah menganjurkan beberapa aktiviti yang memberi peluang kepada rakan penghantar yang hadir untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk baucer petrol, pin tambah nilai e-Dompet Touch ‘N Go dan wang tunai dan juga hadiah utama iaitu sebuah motosikal baharu bernilai lebih RM5,000.
“Domino’s membawakan detik-detik keemasan dengan menawarkan pelbagai hadiah bernilai lebih RM20,000 sebagai tanda penghargaan. Kami berharap ganjaran ini dapat membawa senyuman dan keceriaan kepada wajah hero-hero kita yang bertungkus lumus setiap hari,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE