fbpx

‘Arwah Aysar Zahran tiba-tiba minta maaf, tanya hutang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Allahyarham Aysar Zahran tiba di pekarangan Masjid Al-Muttaqin kira-kira pukul 4.10 petang tadi.

HULU LANGAT – “Beberapa hari sebelum kejadian (kemalangan), arwah ada minta maaf secara tiba-tiba dan tanya jika ada hutang dengan kami semua.”

Demikian kata rakan mengenai perubahan sikap Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, yang maut dalam nahas enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, di sini semalam.

Menurut Muhammad Irfan Rozaimi, 20, arwah merupakan seorang yang mudah didekati dan sentiasa menghiburkan rakan-rakan dengan gelagatnya.

“Kami tiada syak apa-apa ketika itu dan anggap ia sekadar pertanyaan biasa. Agak terkejut apabila (dapat tahu) kemalangan itu berlaku,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin di sini hari ini.

Muhammad Irfan berkata, arwah Aysar Zahran juga jarang pulang ke rumah keluarganya di Hulu Langat kerana lebih suka mengulang kaji pelajaran di asrama.

Katanya, pada pagi kejadian, pemuda itu dalam perjalanan kembali ke kolej di Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas pulang ke rumah keluarganya sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Kosmo! mendapati jenazah Allahyarham Aysar Zahran tiba di pekarangan masjid pada pukul 4.10 petang tadi untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perakaunan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang, mangsa, Aysar Zahran, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala enam lagi penunggang termasuk pembonceng motosikal cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI