PETALING JAYA – Tiga amaran diberikan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kepada bot pekerja migran Indonesia dalam kejadian di perairan berhampiran Pulau Carey minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun amaran tersebut tidak diendahkan sebelum berlaku insiden kejar-mengejar dan percubaan untuk melanggar bahagian enjin bot APMM iaitu Penggalang 31.
Beliau berkata, anggota APMM yang bertugas menaiki bot kelas Penggalang Tiga ketika itu menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada bot migran Indonesia untuk berhenti, namun tidak dihiraukan.
“Adegan kejar-mengejar terus berlaku dengan cubaan rempuhan terhadap Penggalang 31 sehingga anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebagai isyarat supaya bot migran berhenti.
“Sebagai langkah terakhir, barulah tembakan dilepaskan ke arah bahagian enjin kapal berkenaan,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Saifudin berkata, dalam insiden yang berlaku pada 24 Januari lalu sekitar pukul 2.58 pagi, Pusat Kawalan Maritim Malaysia di Klang mengesan kontak curiga yang merujuk bot dinaiki migran Indonesia cuba memasuki perairan negara iaitu di perairan Pulau Carey.
“Pusat Operasi Maritim Selangor kemudian mengarahkan bot Penggalang 31 untuk segera membuat pintasan terhadap kontak curiga berkenaan.
“Pada pukul 9 pagi keesokan harinya, APMM menerima satu laporan mengenai bot tersadai di darat dan menemui dua orang lelaki. Seorang cedera, manakala seorang lagi pada waktu itu tidak bergerak. Namun pemeriksaan oleh pasukan perubatan mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, pada hari sama juga, satu lagi aduan memaklumkan bahawa ada tiga lagi lelaki yang cedera akibat kesan tembakan dihantar ke Hospital Serdang termasuk yang meninggal dunia sementara seorang lagi yang cedera dimasukkan ke Hospital Klang. – KOSMO! ONLINE