PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur terhadap perkembangan ekonomi Malaysia termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik.
Titah baginda, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah tahun lepas, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor.
“Jumlah perdagangan negara telah melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama. Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan. Saya harap ia akan dipertingkatkan.
“Saya menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah baginda pada ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan juga hendaklah menentukan prestasi baik itu membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukannya hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu.
“Saya menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.
“Namun saya menggesa agar subsidi bersasar tersebut diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE