KUALA PERLIS – Terminal Feri Kuala Perlis merekodkan jumlah penumpang tertinggi ke Langkawi iaitu seramai 51,003 orang sepanjang tempoh cuti persekolahan dan sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, seramai 164,612 penumpang menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi bagi laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah sepanjang tempoh 16 Januari hingga 2 Februari lalu.
“Jumlah penumpang bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis adalah seramai 48,784 orang. Sementara bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi pula, jumlahnya lebih tinggi dengan 51,003 orang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, jumlah penumpang bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah pula mencatatkan seramai 31,117 orang, manakala bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi adalah seramai 33,708 orang.
“Selain peningkatan jumlah penumpang, sebanyak 49 trip tambahan turut disediakan bagi menampung permintaan tinggi sepanjang tempoh tersebut. Bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis, sebanyak 17 trip tambahan disediakan, manakala bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi pula sebanyak 16 trip,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE