PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan 23 pengadil tempatan telah menerima lencana Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didaftarkan sebagai Pengadil FIFA tahun ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini, senarai 23 pengadil itu terdiri daripada tujuh pengadil perlawanan, 10 Penolong Pengadil, empat pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.
“Seperti yang semua sedia maklum, seramai 23 pengadil tempatan telah dipilih oleh Panel Pengadil Antarabangsa FIFA untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2025 ini.
“Simbolik penyerahan lencana Pengadil FIFA tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang merupakan pengadil FIFA sejak tahun 2020.
“Turut menerima lencana tersebut daripada Sivasundaram ialah empat Pengadil Futsal iaitu Helday Idang, Norafendy Norhayalan, Faiz Jamaluddin dan Atikah Janah, serta Pengadil Bola Sepak Pantai, Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam.
“Selain itu, seorang lagi Pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin yang merupakan Pengadil FIFA sejak tahun 2016 serta calon Pengadil Piala Dunia 2026 telah menerima lencana berkenaan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman,” kata kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE