fbpx

Larian denai 100km di Baling cabar ketahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh Noraini ketika menyertai larian denai di Baling.

SENTIASA mencabar diri. Itu merupakan semangat yang dipegang oleh wanita berusia 51 tahun tersebut dalam melakukan aktiviti kesukaannya iaitu larian jarak jauh atau maraton.

Meskipun sudah menginjak usia separuh abad, namun semangatnya semakin berkobar-kobar untuk meneruskan aktiviti berlari, malah staminanya juga semakin meningkat seiring  usia.

Menurut pelari ultra-maraton yang mahu dikenali sebagai Noraini, dia aktif melakukan aktiviti berlari sejak sedekad lalu.

Namun kini, dia mula mencabar diri dengan menyertai aktiviti larian denai atau trail run.

“Saya mula berlari sejak 2014, berawal dengan niat mahu kuruskan badan. 

“Namun selepas menyertai acara larian dan berjaya lari dalam jarak jauh, ia menjadi seperti ketagihan.

NORAINI bergambar kenangan di puncak Gunung Baling, Kedah sewaktu menyertai acara larian denai The Magnificent Baling 100 pada tahun lalu.

“Saya bermula dengan 7 kilometer (km), kemudian jarak itu semakin bertambah hingga ke tahap ultra-marathon 50km dan 100km.

“Malah kini, saya cabar diri melakukan larian denai pula,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, larian denai sememangnya lebih mencabar berbanding maraton biasa.

Menurut Noraini, larian denai memberi pengalaman serta keterujaan yang berbeza buat dirinya.

Katanya, berawal dengan menyertai latihan di denai sehingga dia berasa bersedia untuk masuk pertandingan.

Pada tahun lalu, Noraini membuat keputusan untuk mencabar diri menyertai acara The Magnificent Baling 100 dengan memilih kategori 100km.

“Awalnya saya memang berdebar apabila menyertai larian denai untuk pertama kali dan terus sertai kategori 100km dalam masa 24 jam.

“Namun begitu, saya tetap kuatkan hati untuk sertai acara berkenaan dan menjalani latihan serta persediaan rapi untuk larian,” ujarnya yang turut aktif mendaki gunung (hiking).

NORAINI juga aktif menyertai acara larian maraton.

Kongsinya, bagi larian denai, dia melakukan latihan sama seperti maraton untuk daya tahan dengan memberi tumpuan pada permainan ketinggian (elevation game) dan belajar teknik istimewa larian denai.

Ujarnya, antara cabaran larian denai adalah mengharungi laluan hutan yang mempunyai permukaan berbeza berbanding jalan raya.

Oleh itu, Noraini perlu ada teknik mendaratkan kaki yang betul serta latihan mengharungi pelbagai jenis landskap dan ketinggian.

“Tempoh larian adalah 24 jam dan memang kita akan berlari pada waktu malam sambil mengharungi laluan denai yang gelap. Ia satu cabaran besar buat diri saya.

“Untuk percubaan pertama dalam acara larian denai, saya hanya mampu menyelesaikan sehingga 80km sebelum terpaksa menarik diri kerana masalah kecederaan,” kongsinya.

Katanya lagi, hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencabar diri dan mencuba larian denai.

Malah, dia merancang untuk menyertai acara larian denai di Baling, Kedah itu sekali lagi dengan melakukan persediaan dan latihan lebih mantap.

Pada masa sama, Noraini merancang untuk mendaftar pelbagai acara larian setiap bulan termasuk mencabar diri menyertai larian ultra-maraton sejauh 160km.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI