MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan bahawa tidak ada perubahan terhadap pilihan pemain yang dimilikinya menjelang aksi getir menentang Arsenal di Emirates tengah malam ini.
City masih kekal kehilangan khidmat Jeremu Doku, Ruben Dias dan Nathan Ake pada perlawanan itu nanti apabila ketiga-tiga mereka belum pulih daripada masalah kecederaan masing-masing.
Kejayaan mara ke pusingan playoff Liga Juara-Juara selepas membenam Club Brugge menjadi bekalan semangat untuk mereka yang ketika ini ketinggalan enam mata di belakang Arsenal, namun sudah kembali berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.
Selain trio berkenaan yang terpaksa disisihkan, Guardiola juga masih belum dapat menggunakan khidmat Rodri yang mengalami kecederaan lutut, manakala Oscar Bobb yang kembali menjalani latihan dilihat belum mendapat tahap kecergasan terbaik setakat ini.
“Kami akan kekal dengan pilihan pemain yang ada. Mereka yang cedera masih belum dapat diturunkan dan dalam proses pemulihan,” katanya.
Doku terlepas tiga aksi setakat ini apabila mengalami kecederaan ketika menentang Ipswich Town, namun Guardiola enggan mendedahkan kecederaan yang dialami pemain itu dan tempoh rehat yang perlu dilalui.
Sementara itu, Dias pula terpaksa dikeluarkan ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain apabila berdepan masalah otot.
“Saya tidak pasti berapa lama Dias perlu diketepikan. Dia dalam keadaan stabil. Dia terlalu banyak beraksi sebelum ini dan musim ini dia mula merasai kesannya. Ake juga saya tidak tahu bila dia akan kembali cergas,” jelasnya. – AGENSI