MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tampaknya sudah menemui ramuan bagi mendapatkan hasil terbaik daripada pemain sayap, Alejandro Garnacho menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace di Old Trafford malam ini.
Walaupun disebut-sebut bakal meninggalkan United pada jendela perpindahan musim sejuk, namun fokus pemain Argentina itu langsung tidak terkesan dan sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan.
Terbaharu, Garnacho dianggap sebagai pemain kunci buat The Red Devils ketika mereka menewaskan FC Steaua Bucharest (FCSB) 2-0 dalam saingan Liga Europa kelmarin, sekali gus mara ke pusingan kalah mati.
“Saya tidak fikir dia berubah kerana saya. Dia mula menunjukkan aksi lebih baik selepas digugurkan daripada skuad ketika bertemu Manchester City, saya fikir dia faham apa yang saya cuba lakukan.
“Akhirnya dia faham bahawa saya adalah jurulatih yang berbeza dan sangat mementingkan komitmen daripada semua pemain. Saya mahu kredit kepadanya kerana sudah menunjukkan peningkatan drastik,” katanya.
Jurulatih dari Portugal itu juga menjelaskan, beliau mungkin meletakkan Kobbie Mainoo di posisi baharu selepas melihat pemain muda berkenaan menggalas tugas cukup baik ketika bertemu FCSB.
“Saya fikir saya dia lebih gembira bermain di posisi tengah menyerang dan bukannya berpunca daripada rundingan kontrak. Jika dia gembira dengan situasi sekarang, saya mungkin ubah posisinya secara kekal,” ujar Amorim. – AGENSI