PETALING JAYA – Wilayah Persekutuan bukan sahaja menjadi pusat pembangunan negara, tetapi juga simbol perpaduan dan kemakmuran Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Wilayah Persekutuan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengajak rakyat untuk terus bekerjasama dalam memastikan kemajuan yang telah dicapai dapat dikekalkan demi manfaat generasi akan datang.
“Hari ini kita memperingati penubuhan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
“Wilayah Persekutuan bukan sahaja pusat kepada pembangunan negara, tetapi juga simbol perpaduan dan kemakmuran Malaysia,” katanya hari ini.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus berganding bahu dalam memacu kemajuan dan kesejahteraan negara.
“Marilah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan kemajuan yang telah diraih ini berterusan, serta memberi manfaat kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam kesempatan itu, Fahmi turut mengucapkan Selamat Hari Wilayah Persekutuan kepada semua warga Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan. – KOSMO! ONLINE