WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa kakitangan awam persekutuan diwajibkan kembali ke pejabat selewat-lewatnya awal bulan ini jika tidak mahu ditamatkan perkhidmatan, lapor portal berita Fox News kelmarin.
Ia merupakan langkah terbaharu oleh pentadbiran Trump yang berusaha menamatkan budaya bekerja dari rumah dan luar pejabat yang popular semasa pandemik Covid-19.
Beliau menyatakan demikian di White House sejurus sebelum menandatangani rang undang-undang Laken Riley mengenai imigresen.
“Kami (kerajaan) memerlukan mereka untuk hadir bekerja atau jika tidak, perkhidmatan mereka akan ditamatkan,” kata Trump.
Beliau membuat kenyataan itu beberapa jam selepas Pejabat Pengurusan Kakitangan (OPM) mula menghantar e-mel kepada kira-kira dua juta pekerja persekutuan pada Selasa lalu.
E-mel tersebut menyatakan bahawa kakitangan yang tidak kembali bekerja di pejabat dalam tempoh masa ditetapkan akan disingkirkan secara bermaruah.
Menurut OPM, kakitangan awam mempunyai masa sehingga 6 Februari ini untuk membuat keputusan bekerja di pejabat atau ditamatkan perkhidmatan.
Ia turut menyatakan bahawa kebanyakan pekerja akan diwajibkan hadir bekerja lima hari seminggu di pejabat. – AGENSI