PETALING JAYA – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim antara tumpuan pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Keempat Parlimen ke-15 Isnin ini.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah ucapan diraja itu bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara kira-kira pukul 10 pagi.
Antara inti pati penting Titah Diraja itu termasuklah soal pembangunan negara serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Istiadat pembukaan itu akan disiarkan secara langsung bermula 10 pagi menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi menerima sembah Hormat Diraja oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama, Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri dan ketua perwakilan asing turut dijadual menghadiri istiadat berkenaan.
Menurut takwim itu lagi, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari.
Ia turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Februari.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.-KOSMO! ONLINE