SHAH ALAM – Pengacara Nabil Ahmad mengakui tiada niat menayang aurat isterinya, Zira Ayub ketika membuat panggilan video yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut Nabil, 41, perkara tersebut tidak disengajakan sehingga tular menerima kecaman ramai.
“Saya tak perasan pun sebab nampak dia macam pakai tudung. Terlepas dan tak sengaja.
“Saya ingatkan dia pakai tudung dan baru tahu benda ini tular. Saya yang suruh pihak radio muat naik sebab saya ingatkan dia bertudung,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis Meet and Greet bersama Jakel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nabil berharap orang ramai dapat mendoakannya agar lebih berhati-hati sebelum memuat sebarang hantaran dalam media sosial termasuk berkaitan ahli keluarganya.
“Bila saya nak berniaga, tak tular pula tetapi kalau benda-benda begini jadi viral.
“Doakan saya supaya tidak lagi mengeluarkan keluarkan video-video begitu dan lebih berhati-hati, insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, tular video memaparkan Zira hanya menutup bahagian rambut dengan menggunakan tuala ketika membuat panggilan video dengan suaminya.
Perkara tersebut mengundang kecaman ramai susulan Nabil yang dikatakan tidak sensitif dengan aurat isterinya. – KOSMO! ONLINE